Sunday, November 2, 2008

Iklan Bank Multinasional Betaraf Kampung


Perjalanan ke tempat kerja memaksa saya menaiki tren selama 45 minit. Selain membaca dan kadangkala terhibur dengan gelagat penumpang, iklan-iklan disetiap penjuru juga kadangkala buat mata segar untuk ke kerja. Pagi ini iklan sebuah bank (bertaraf internasional) menggamit perhatian saya.

Apa yang tekesan bukannya madah pujangga yang cuba dilahirkan syarikat, tetapi kelemahan ketara dalam terjemahannya. Saya lampirkan tiga contoh.

Contoh 1

Your wish for a secured future
Your plans secured


Diterjemahkan menjadi:

anda impikan masa depan yg terjamin
anda pasti kami akan melaksanakannya

Bukankah secara literalnya, terjemahan yang betul (sekurang-kurangnya) berbunyi begini:

Impian anda untuk masa depan yang terjamin
Pelan anda kami laksanakan

Contoh 2

Your plans for expansion
Your business managed


Diterjemahkan menjadi:

anda ingin mengembangkan perniagaan
anda pasti kami akan menguruskannya

Untuk ini, pada hemat saya, terjemahannya (sekurang-kurangnya) patut begini:

Pelan anda untuk mengembangkan perniagaan
Perniagaan anda kami uruskan.

Contoh 3

Your wish for world-class solutions
Your needs met


Diterjemahkan menjadi:

anda impikan penyelesaian bertaraf dunia
anda pasti kami akan menunaikannya
Bukankah secara konsep, terjemahannya sepatutnya berbunyi:

Impian anda untuk penyelesaian bertaraf dunia
Keperluan anda kami penuhi

Pada pendapat saya, penggunaan kata ‘pasti’ lebih seolah-olah menimbulkan tanda tanya dan keraguan, terutamanya kepada pelanggan institusi perbankan tersebut daripada memberi jaminan, seperti mana yang cuba dicadangkan oleh versi bahasa inggerisnya.

Dalam kemelut perdebatan hangat kedaulatan bahasa melayu dan isu samada bahasa inggeris harus kekal sebagai medium bahasa bagi matapelajaran sains dan matematik, syarikat konglomerat, khususnya yang bertaraf antarabangsa sepatutnya lebih berhati-hati dalam menterjemahkan sebarang bahasa ke bahasa kebangsaan kita. Mungkin kempen bahasa jiwa bangsa sudah lama padam, tapi seharusnya setiap warganegara perlu punyai (walau sekumit) rasa bangga dan rasa perlu untuk mempertahankan dan memperkasakan bahasa kita. Moga syarikat-syarikat mahupun individu lain lebih peka untuk menggunakan Bahasa Melayu agar bahasa itu sendiri tidak terpinggir dan diperlekehkan oleh warganegaranya sendiri. Pihak-pihak berwajib juga harus meningkatkan pemantauan agar perkara-perkara remeh sebegini tidak lagi muncul memualkan di khalayak.