Sunday, December 4, 2011

Ombak Rindu


SPOILER ALERT!

Saya percaya, sesuatu seni itu andai indah di mata kita, namun tak semestinya mempersonakan di mata yang lain. Kerana itu, saya tidak kecewa bila Ombak Rindu tidak seperti yang dipuji dipuja. Saya juga tidak terkilan malah terhibur melihat arena filem negara masih ada yang memandang enteng dengan menerbitkan cerita-cerita yang berpotensi dan bukannya terus terusan melambakkan dengan filem bodoh lagi membodohkan.

Seperti hasil-hasil seni Osman Ali yang lain (Malaikat di Jendela, Puaka Tebing Biru dan Cun) tak sah kalau tiada wanita berkemban dan laki menayang badan. Malahan babak-babak mula terlihat seperti lari dengan kebiasaan filem-filem Melayu dengan adegan-adegan erotis yang seperti sengaja diada-adakan. Mungkin sahaja itu kehendak skrip ataupun mungkin ia kepakaran dan trademark encik pengarah.

Tunjang cerita ini berkisar dua percintaan, cinta Hariz kepada Izzah (Maya) dan cinta Mila (Lisa) kepada Hariz. Tidak keterlaluan jika saya katakan pembikin cerita seolah-olah menyogok penyudahnya kepada penonton dari bercerita apa hebatnya cinta mereka dan kenapa dugaan hanya mengukuhkannya.

Dalam hal kisah cinta Hariz-Izzah, ia bermula dengan Hariz mengambil(menyelamatkan) Izzah dari dunia perlacuran sebagai perempuan penyedap yang dikurung di rumah.

“Ko tak cukup lagi aku kurung di dalam rumah, ko nak kurung diri ko dalam toilet pulak?I”, jerit watak Aaron Aziz pada watak Maya Karin.

Tapi penonton yang analitik akan bingung kenapa Hariz si pelanggan tetap kelab malam (digambarkan dengan hubungan baik dengan pemilik) akan simpati dengan seorang pelacur yang baru ditidurinya sehingga ingin dibawa pulang dan apatah lagi dinikahi. Penonton juga akan bingung dengan Izzah yang mula tangkap lentok di bahu Hariz bertukar menjadi takut dan cuba melarikan diri bila Hariz membentak dan mengamuk sedangkan dia menerima dengan pasrah bila ingin dijadikan hamba seks Hariz dengan hanya membuat syarat agar dirinya dinikahi. Malahan penonton akan bertambah bingung kenapa Hariz yang mengamuk bagai dirasuk hantu bila mengetahui Izzah mengandung tapi kemudiannya jatuh cinta pula selepas menyedari dia silap meneka.

“Saya memang mual-mual dan pening-pening bila datang period…”, rayu watak Maya Karin kepada watak Aaron Aziz.

Di dalam kekalutan ini, Hariz kemudiannya cuba menjadi hero dan menolak berkahwin dengan tunangannya yang dikenali sedari kecil atas dasar cintanya kepada Izzah.

Kisah cinta Mila dan Hariz juga seperti cuba disogok-sogok kebenarannya. Setelah Hariz mengakui dia mencintai wanita lain dan tidak ingin meneruskan perkahwinan mereka, Mila terus mendesak dan membentak meneruskan perancangan seperti asal dan percaya bahawa dia akan tetap bahagia kerana berjaya mengahwini insan yang dicintainya. Apa yang peliknya kemudian, Mila minta dilepaskan bila mengetahui siapa kasih sebenar Hariz. Plot salah faham kekasih gelap yang disimpan Hariz ialah watak dipegang Julia Ziegler juga seolah-olah tidak memberikan impak yang sepatutnya dan watak beliau begitu mudah dilupai sehingga dirasakan tidak perlu ada pun tidak mengapa.

Pembinaan karakter antagonis di dalam filem ini juga dihidangkan kurang masak. Contohnya Datuk Sufiah (Azizah Mahzan) seorang businesswoman berjaya yang hanya dicorak sebagai wanita gedik yang busuk hati dan lebih suka membuat onar dan berhelah dari merupakan seorang yang bersikap professional dan terbuka mindanya. Watak tersebut tidak langsung memberi keadilan kepada seorang businesswoman yang berusaha keras punyai syarikat sendiri dan berjaya mendapat gelaran Datuk di atas kapasiti sendiri.

Jadi andainya asal jalan cerita sudah gagal, walau bagaimanapun penyudahnya, penonton akan tetap berasa ‘tidak kenyang’ dengan hasil filem itu kerana hakikatnya ‘bagaimana mahu menjual produk kalau idea asalnya sendiri tidak masuk akal’.

Namun Osman Ali agak selamat bila pilihan pelakon dibuatnya tepat. Saya tidak mahu bercakap mengenai kenapa Maya Karin yang begitu urban dipilih untuk watak ini ataupun Aaron Aziz yang saya rasakan sudah diakui mampu membawa watak lelaki jahat atau penyayang dengan baik usai kerja-kerja lakonannya yang melimpah. Juga tidak mahu memperjuangkan nasib Bront Palare dan Normah Damanhuri yang tidak digunakan sebaik mungkin bakat mereka di dalam filem ini. Cuma saya rasakan bintang filem ini ialah sebenarnya Lisa Surihani dan, sedikit, Zaidi Omar. Jarang kita lihat Lisa memegang watak gadis manja yang akan memberontak bila kehendaknya tidak dituruti dan terlampau selalu dia diberi watak gadis yang perlu dikasihani sehingga filem ini mengingatkan kita yang dia mampu selesa memegang watak apa jua walaupun lari dari norma skrip-skrip yang selalu dibacanya. Zaidi Omar sebagai Pak Dollah juga memberikan persembahan yang patut dipuji terutamanya sewaktu dia lega mengetahui Hariz dan Izzah sudah menikah dan ketika kemuncak filem dengan konfrantasi antara dia, Datuk Sufiah, Hariz dan Mila.

Saya berasa teruja kerana melihat watak gadis bertudung sudah mula selesa dijadikan watak utama. Cuma mungkin selepas-selepas ini, watak-watak ini tidak perlu stereotaip dihina dan ditindas, harapnya. Kerana hakikatnya, ada sahaja ‘wanita besi’ di luar sana yang bertudung.

Jadi, apa yang saya bawa pulang selepas menontong dua falsafah yang sepatutnya menunjangi filem ini sedari mula:

1. “Wanita itu dijadikan istimewa, kerana itu Tuhan banyak menguji mereka”, nasihat watak Normah Damanhuri kepada watak Maya Karin; dan

2. “Beza redha dengn pasrah, redha itu dengan ikhlas”, ucap watak Lisa Surihani kepada watak Maya Karin.

Jadi, ini hanyalah pandangan saya. Hampir semua yang pergi mengatakan sesi tayangan mereka berakhir dengan tangisan dan penonton bertepuk tangan. Mungkin filem ini banyak indahnya, cuma saya terkhilaf membaca.

Selamat Menonton!

1 comment:

Anonymous said...

baraq, what a review!

-chanie-